Isnin, 18 April 2011

PESANAN IMAM SYAFIE



Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan seluruh jiwa ragaku, seperti aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.
Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang sanggup bersamaku semasa suka dan duka. Jika aku temui, aku berjanji akan selalu setia kepadanya.

Aku hulurkan tangan kepada sabahat-sabahatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sabahat, aku semakin yakin pada diri sendiri.

Belum pernah aku temui di dunia ini seorang teman yang setia dalam suka atau duka. Padahal hidupku sentiasa berputar antara suka dan duka. Jika duka melanda, aku sering bertanya- siapakah yang sudi menjadi temanku? Semasa aku senang, sudah biasa banyak orang akan iri hati, namun, semasa aku susah, mereka bertepuk tangan.

Aku boleh bergaul secara bebas dengan semua orang ketika senang. Namun, ketika musibah menimpaku, aku dapati mereka tidak ubah seperti roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka akan mencemuhku; dan jika aku sakit; tidak ada seorang pun yang sanggup menjengokku. Jika hidupku penuh kebahagiaan, banyak orang akan irihati, jika hidupku berselimut derita, mereka bersorak-sorai.

Apabila tidak aku temui teman-teman yang bertakwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripadaku terus bergaul dengan orang-orang jahat. Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkan daripada bersahabat dengan kawan yang mesti aku waspadai.

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang pendeta dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka, kelak kau akan memperoleh kebaikan.

Sepanjang hidupku yang semakin tua, belum pernah aku temui didunia ini teman yang sejati. Aku tinggalkan orang-orang yang bodoh kerana banyak kejahatan dan aku jauhi orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit

Teman yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada menjadi teman. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada teman yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidupku, aku berjuang keras mencari teman sejati sehingga pencarianku membosankan. Aku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.

Dalam diri manusia itu ada dua jenis potensi; tiupan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

Sesiapa yang menghormati orang lain, tentulah ia akan dihormati kerananya. Begitu juga, sesiapa yang menghina orang lain, sudah tentu dia akan tersisih. Sesiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya suatu pahala. Begitu juga sesiapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai perasaan dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku berada dihadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu aku lakukan agar aku dapat menjaga diriiku daripada kejahatan.

Aku tunjukkan keramahanku, kesopananku dan rasa persahabatan kepada orang-orang yang aku benci, sebagaimana aku tunjukkan hal itu kepada orang-orang yang aku cintai. Manusia adalah penyakit, dan penyakit itu akan muncul bila kita menghampiri mereka. Padahal, menjauhi mereka bererti memutuskan persahabatan.

Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku, kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hina anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat, tidak seperti manusia-manusia jahat selamanya tidak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, sudah tentu kau akan bahagia, asalkan kau hidup menyendiri.

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang mebina rumah untuk Allah S.W.T. Hanya orang yang berjiwa mulia sahaja yang dapat menjaga nama baik dirinya, dan selalu menghormati tetamunya, baik semasa hidup mahupun setelah mati.

Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baikmu kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan banyak menaruh belas kasih kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya seperti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat si kekasih, meskipun memerlukan usaha yang keras.

Tidak semua orang yang kau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang dari tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan memperlihatkan hal-hal yang sebelumnya menjadi rahsia.

SELAMAT TINGGAL DUNIA JIKA DIATASNYA TIDAK ADA LAGI SAHABAT YANG JUJUR DAN MENEPATI JANJI.

(Nasihat Imam Syafie- Nasihat ketiga- Susunan Muhammad Alif Al-Zaby-1999- Terbitan Darul Iman )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan