Jumaat, 22 Julai 2011

10 Cara Meraikan Ramadan



1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasiq. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan dahaga. (Riwayat Bukhari).

Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seorang itu berpuasa, maka janganlah dia bercakap lucah, berbuat fasiq dan kejahilan. Jika seseorang mencacinya, maka hendaklah dia menjawab: “Aku sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Menghidupkan malam dengan beribadah (Qiamullail). Sesungguhnya ibadah Qiamullail adalah kegemaran Nabi dan para sahabatnya. Kata Aishah r.a.: ”Janganlah kamu meninggalkan ibadat Qiamullail kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda sakit atau keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk.”

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau membangunkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat.” sambil membaca ayat 132 daripada Surah Thaha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.

3. Bersedekah. Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Baginda s.a.w: Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. (Riwayat Tirmizi).

4. Menjamu makanan. Golongan salaf amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan boleh menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan. Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke dalam syurga Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Wahai manusia, sebarkanlah salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat.(Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Baginda s.a.w. bersabda lagi di dalam hadis yang lain: Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa itu. (Riwayat Ahmad).

5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf mengkhatam al-Quran ketika mengerjakan Qiamullail padai malam Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamnya seminggu sekali. Terdapat juga mereka yang mengkhatamnya sepuluh hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.

Diriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. membaca Surah Al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat 6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam. Beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya lagi meneruskan bacaan berikutnya.

6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah s.a.w. selesai menunaikan solat Subuh, Baginda akan terus duduk di tempat solatnya sehingga terbit matahari.

Menurut sebuah hadis lagi, Baginda s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah s.w.t. sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna. Kata Albani: Hadis ini sahih.

7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Manakala pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.

8. Mengerjakan umrah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Nabi Muhammad s.a.w. akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan keistimewaan.

Ubay bin Ka’ab berkata: “Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah s.a.w., ialah matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup.” (Riwayat Muslim).

Di dalam hadis lain, Aishah r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Ya Rasulullah, jika aku bertemu dengan Lailatul Qadar, apa yang patut aku katakan?” Jawab baginda: “Katakanlah: Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu a’nni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah segala kesalahanku).” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi. Kata Albani: Hadis ini sahih).

10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab. Di antaranya ialah: Waktu berbuka, Sepertiga malam yang terakhir, Waktu Sahur dan Hari Jumaat.

Oleh yang demikian, para salaf amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan zikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Esa.

Daripada Muhammad bin Wasi, katanya: “Aku melihat beberapa lelaki, di antara mereka ada seorang yang tidur sebantal dengan isterinya dalam keadaan berlinangan air mata, sedangkan isterinya tidak sedar.

Diriwayatkan bahawa Ayyub as-Sakhtayani bangun mengerjakan solat sepanjang malam dalam keadaan yang senyap sunyi. Apabila telah hampir waktu Subuh, barulah terdengar suaranya, seolah-olah beliau baru terjaga dari tidurnya.

Oleh: MUHAMAD ADIB MOHAMED SAAT





sumber :http://intim.wordpress.com/2008/09/01/10-cara-meraikan-ramadan/