Jumaat, 18 November 2011

Amalan Untuk Mendapatkan Rezeki Yang Murah Berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi SAW




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini telah pun di tetapkan rezekinya samaada banyak atau sedikit sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Keyakinan kepada rezeki yang datangnya daripada Allah SWT adalah merupakan salah satu daripada rukun iman yang ke 6 iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Setiap rezeki manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi kita tidak perlu risau akan hal ini.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-An’am, ayat 151 yang bermaksud : “Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. (yakni anak-anak)”

Walaubagaimana pun kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT untuk memiliki rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Terdapat beberapa amalan untuk mendapat rezeki yang murah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Jangan tinggalkan beribadah kepada Allah.

Pastikan solat 5 waktu dikerjakan pada waktunya, sebaik-baiknya secara berjemaah.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang maksudnya : "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu". (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a)

2. Memperbanyakkan istighfar .

Memohon kepada Allah, merintih dan mengaku kesalahan di hadapan Allah SWT boleh menjadi sebab Allah SWT akan bertambah kasih kepada kita.

Firman Allah SWT maksudnya : “Mohonlah ampunlah kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” (Surah Nuh ayat 10 – 12)

Sabda Nabi S.A.W. " Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)

3. Meninggalkan perbuatan dosa.

Setakat beristighfar sahaja tidak mencukupi kalau masih melakukan dosa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” ( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Sabda Rasulullah S.A.W : "...dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya" (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

4. Banyak ingat Allah.

Sumber rezeki dalam bentuk ketenangan yang Allah SWT janjikan dalam firmannya dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28 yang bermaksud : "...ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"

5. Berbakti dan mendoakan kedua ibu bapa.

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad boleh memanjangkan umur dan di murahkan rezeki. “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Membantu orang yang memerlukan bantuan seperti orang tua, orang sakit, anak yatim, orang fakir miskin, isteri dan anak-anak. Sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

7. Menyampaikan hajat orang lain.

Apabila kita menyampaikan hajat saudara kita maka Allah SWT akan membalasnya dalam bentuk tertunainya pula hajat kita.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. " (Hadis Riwayat Baihaqi dari Al-Khatib)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW. "
(Hadis Riwayat At-Tabaraani)

Dengan berselawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Buat kebajikandan membantu orang yang lemah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)

Ibnu Abbas berkata:“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Bersedekah waktu pagi meredakan murka Allah, menarik rezeki dan menolak bala.

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara."

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” (Hadis Riwayat Tabrani, Ibnu Adi)

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

11. Menjalin silaturrahim.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya (menjalini silaturahim)” (Hadis Riwayat Bukhari)

12. Sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid r.a)

13. Banyakkan membantu dan melapangkan kesusahan orang lain.

Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam maksudnya : “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Hormati dan melayan tetamu.

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya : "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

15. Amalan Solat Duha.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Duha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Syukur di atas segala pemberian Allah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)

17. Mengamalkan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran yang mempunyai fadhilat dalam meluaskan rezeki.

Ada riwayat menjelaskan : "Mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya Allah tidak akan merasai kepapaan".

Rasulullah S.A.W. juga bersabda maksudnya : "Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).

Mengamalkan membaca surah at-Talaq ayat 2-3 (dipanggil ayat 1000 dinar).
Firman Allah SWT maksudnya : “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq ayat2-3)

Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir, melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan dan kesusahan maut.

Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja’i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin. Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu.” Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.

Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: “Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

18. Sentiasa berdoa kepada Allah.

Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah.Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Abu
Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?”

Jawab Abu Umamah: “Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!”

Jawab Rasulullah: “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”

Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pagi dan petang bacalah:
“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kata Abu Umamah: “Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku.”

(Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).

19. Berusaha dengan bersungguh-sungguh keluar rumah mencari rezeki.

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak……. ”
(Surah An Nisaa’ ayat 100)

Sebenarnya Allah sudah memberi kita pakej yang cukup lengkap kepada kita untuk berjaya dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan untuk kita, ini adalah sunnatullah, siapa yang gigih berusaha akan terbukalah jalan-jalan mencari rezeki baginya dengan mudah kerana keluar rumah mencari rezeki juga dikira sebagai berhijrah dijalan Allah.

20. Bertawakal kepada Allah SWT.

Berserah semata-semata kepada Allah SWT setelah berusaha, maksud firman Allah SWT: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah At-Thalaq ayat 3)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Sahabat yang dimuliakan,
Hayatilah beberapa panduan dan amalan-amalan di atas sebagaimana di nyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW jalan-jalan untuk mendapatkan murah rezeki daripada Allah SWT. Pastikan rezeki yang kalian cari adalah halal dan bersih daripada perkara yang haram dan subahat. Kerana setiap ringgit wang yang kita perolehi akan ditanya nanti dihari akhirat.