Rabu, 26 Oktober 2011

Jauhi Tipu Daya dan Godaan Iblis Laknatullah



السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.



Sahabat yang dirahmati Allah,

Iblis adalah musuh yang nyata kepada orang-orang mukmin. Tipu helah dan muslihat jahatnya sentiasa berjalan keatas diri anak Adam yang berada di muka bumi ini tidak berhenti siang dan malam. Oleh itu anggaplah iblis ini sebagai musuh utama dan berhati-hati di dalam setiap niat di hati, percakapan dan perbuatan supaya terhindar daripada godaan dan hasutan iblis laknatullah.



Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapa (Adam dan Hawa) kamu dari syurga, ia menanggalkan keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kedua auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman." (Surah Al Araf ayat 27)



Terdapat kisah perjumpaan Nabi Musa a.s. dengan iblis laknatullah :



Iblis datang kepada Nabi Musa a.s. dan berkata : "Engkaulah yang dipilih oleh Allah rasul-Nya dan Kalimullah, sedangkan aku seorang makhluk biasa, yang ingin juga bertaubat kepada Tuhan. Maka tolonglah aku, semoga taubatku diterima."



Nabi Musa a.s merasa gembira lalu dia berwuduk dan solat dan berdoa : "Ya Tuhan, iblis adalah makhluk-Mu dan dia ingin bertaubat, maka terimalah taubatnya.



Maka diturunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. : "Ya Musa, dia tidak akan bertaubat."



Jawab Musa : "Ya Tuhan, dia mahu bertaubat."



Maka turun wahyu kepada Musa : " Aku telah menerima permintaanmu Musa, maka suruhlah ia sujud kepada kubur Adam, maka Aku akan terima taubatnya."



Nabi Musa a.s. sangat gembira dan menyampaikan suara wahyu itu kepada iblis, tiba-tiba iblis marah dan sombong dan berkata : "Aku tidak sujud kepadanya pada masa hidupnya, bagaimana akan sujud sesudah matinya?" Lalu iblis berkata : "Hai Musa , kerana engkau telah menolongku, maka kini engkau berhak menerima hadiah daripadaku, maka aku berpesan kepadamu tiga perkara :



1. Ingatlah kepadaku ketika marah, sebab aku di dalam tubuhmu mengikut saluran darah.



2. Ingatlah kepadaku ketika menghadapi musuh ketika perang, sebab aku datang kepada anak Adam mengingatkan kepadanya keadaan isteri, anak, hartanya sehingga dia lari ke belakang.



3. Awaslah jangan duduk sendirian dengan wanita yang bukan mahram, sebab aku sebagai utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya.



Sahabat yang dimuliakan,

Berdasarkan kisah di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa iblis akan hadir kepada manusia dalam tiga keadaan iaitu ketika marah, ketika dalam jihad dijalan Allah SWT dan ketika berdua-duaan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.



Oleh itu kita perlu berhati-hati dan memohon perlindungan Allah SWT daripada bisikan dan godaan iblis yang terkutuk.



Iblis pernah datang mengadap Rasulullah SAW dan baginda bertanya kepada iblis.



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :



"Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"



Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Qur'an Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".



Terdapat beberapa amalan-amalan untuk kita menjauhi daripada bisikan dan godaan iblis laknatullah iaitu :



1. Banyakkan membaca doa perlindungan kepada Allah SWT . Membaca doa perlindungan daripada Allah SWT seperti terdapat di dalam al-Quran surah al-Mukminun ayat 97-98.



Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah :'Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekatiku'."



Baca doa perlindungan : Auzubillahi minas syaitannir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syitan yang direjam)



2. Baca "bismillahirahmanirrahim" setiap perbuatan yang hendah dilakukan.



3. Banyakkan berzikir dan berdoa , seperti doa-doa yang di ajarkan oleh Nabi SAW. (doa makan, doa masuk tandas, doa sebelum berjimak, doa naik kenderaan, doa keluar rumah dan lain-lain lagi)



4. Banyakkan bersedekah dengan ikhlas.



5. Banyakkan bertaubat kepada Allah SWT.



6. Banyak membaca al-Quran.



7. Sentiasa berwuduk.



8. Banyakkan solat malam.



9. Sentiasa memberi salam , ketika masuk kerumah atau ketika berjumpa saudara muslim yang lain.



Apabila Rasulullah SAW bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :



"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".



Sahabat yang dihormati,

Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan.



Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.



Bagaimanakah caranya?



1. Membuka Bahagian Tangan



Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan).



"Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang."Begitu bisikan syaitan.



Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa.



Maka syaitan berbisik, "Hah,tak apa-apa kan?"



2. Membuka Leher dan Dada



Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi.



"Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka."



Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk "V".



3. Berpakaian tapi Telanjang



Syaitan berbisik lagi, "Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang."



Maka tergodalah si wanita. "Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin," begitu syaitan menokok-nambah.



Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat 'ariyat (berpakaian tapi telanjang).



4. Agak Terbuka Sedikit



Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.



"Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa."



Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan.



5. Tudung Semakin Kecil



Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih "power".



Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. "Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung."



6. Terdedah



Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi. "Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan."



Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya.



7. Membuka Seluruh



Syaitan kembali berbisik, "Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut"



Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya.



Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah.



Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama?



Namun bisikan syaitan menyahut, "Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini."



"Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?" hati si wanita curiga.



"Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?" syaitan menghasut.



Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan.



Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu.



Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!!



Sahabat yang dikasihi,

Ingatlah, syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan! Nauzubillahiminzalik.