Khamis, 3 Mac 2011
Kisah Ibrahim Bin Adham
Suatu hari Ibrahim Bin Adham ingin membuang air kecil,lalu dia pun pergi ke tandas awam.Apabila dia ingin masuk ke dalam,seraya seorang lelaki menegurnya, “wahai orang tua,bayarlah dulu sebelum masuk.”Mendengarkan sapaan lelaki itu,air mata Ibrahim Bin Adham pun bercucuran keluar dari matanya.Lelaki tadi terkejut dan berkata, “wahai orang tua,andaikata kamu tiada wang untuk dibayar,masuklah secara percuma.Janganlah menangis kerana ini.”Ibrahim bin Adham menjawab, “wahai pemuda,aku menangis bukan kerana aku tiada duit tetapi aku terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki,bagaimana pula dengan syurga Allah.Berapakah bayaran yang harus aku sediakan untuk masuk ke dalamnya…”
Nama lengkapnya adalah Abu Ishaq Ibrahim bin Adham.Dia terkenal dengan panggilan Abu Ishaq.Dia dilahirkan di balkh dari keluarga bangsawan Arab dan ayahnya adalah seorang raja Khurasan. Apabila ayahnya meninggal dunia,tugas kepimpinan Khurasan diambil alih olehnya.Dia memiliki istana yang tersangat besar dan hidupnya dipenuhi dengan kemewahan.Namun,Allah lebih menyayanginya,Allah inginkan dia dengan Allah sahaja,maka daripada seorang khalifah,Ibrahim menjadi seorang hamba.Lalu dia pergi mengembara ke arah barat untuk menjalani hidupnya sebagai seorang hamba kepada Tuhannya.
Hatinya diketuk
Ibrahim mewarisi sifat ayahnya yang suka berburu.Suatu hari dia menunggang kudanya dan pergi ke dalam hutan untuk memburu burung. Dibawanya bersama sebuku roti sebagai bekalan makanan.Tengah dia asyik memburu seekor burung,seekor gagak menyambar rotinya.Dia cuba memanah gagak itu tetapi gagal.Kerana perasaan marahnya kepada gagak itu, dia memacu kudanya ke arah gagak itu sehingga sampai di lereng bukit.
Alangkah terkejutnya dia apabila dia mendapati terdapat seorang lelaki yang diikat pada sebatang pokok.
“Sudah berapa lama kamu diikat?”Tanya Ibrahim.
“7 hari lamanya,”jawab lelaki terbabit.
“Pantas,apa yang kamu makan sehingga mampu hidup sekian lama?”Soalnya lagi.
“Tiap-tiap hari,Allah memberiku rezeki melalui binatang-binatangnya. Hari ini Allah menggunakan burung untuk menghantar sebuku roti kepadaku,” jawab lelaki itu.
Dia terfikir,jika binatangpun mampu membantu manusia,bagaimana pula dengan manusia?Bukankah manusia mampu membantu sesama manusia?
+++++++++++++++
Sedang dia lena di atas tilamnya yang empuk,dia bermimpi yang terdengar bunyi pergerakan di atas loteng istananya.Dia terfikir bahawa masakan ada pergerakan di atas loteng istana yang begitu tinggi.Disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi,dia pun panjat ke loteng dan dia dapati ada seorang lelaki sedang bergerak ke hulu hilir seakan-akan sedang mencari sesuatu. Dia menegur lelaki tersebut.
“Wahai lelaki,aku seakan-akan melihat engkau mencari sesuatu,apakah yang engkau tengah cari?”Tanya Ibrahim.
“Aku sedang mencari unta aku yang hilang,”jawab lelaki tersebut.
“Gilakah engkau,mencari unta di tempat setinggi ini!”Marah Ibrahim yang merasakan dirinya dipermainkan.
“Gilanya aku mencari unta ku samalah seperti gilanya engkau mencari Tuhan mu dalam kemewahan!”Balas lelaki tersebut.
Tiba-tiba,dia pun terjaga dari tidurnya.Lantas merenung cerita di sebalik mimpinya.
++++++++++++++++
Suatu hari,tengah dia duduk di atas singgahsananya,datang seorang lelaki tua. Lelaki tua itu menjerit, “milik siapakah rumah tumpangan ini?!” Mendengar kata-kata yang biadap itu,lantas Ibrahim pun naik marah.
“Wahai orang tua!Berani kamu katakan istanaku yang dilimpahi dengan kemewahan ini sebagai rumah tumpangan!Sungguh biadap kamu!”Marah Ibrahim.
“Siapakah pemiliknya sebelum kamu?”Tanya orang tua itu.
“Ayah aku,”jawab Ibrahim.
“Sebelum dia?”Tanya orang tua itu lagi.
“Ayah kepada ayah aku,iaitu datuk aku,”jawab Ibrahim lagi.
“Sebelum dia?”Soal orang tua itu lagi.
“Ayah kepada datuk aku!”Menjawab sambil meninggikan suara.
“Dimanakah mereka?”Tanya orang tua itu.
“Di dalam kubur,”jawab Ibrahim.
“Nah,inilah rumah tumpangan.Pemiliknya hidup sementara di sini dan begitu juga kamu!”Balas orang tua itu.
Ibrahim tersentak mendengar teguran orang tua itu.Lalu dia termenung seketika dan apabila dia sedar dari termenung,dia dapati orang tua itu sudah hilang.Dikatakan orang tua itu ialah nabi Khaidir.
++++++++++++++++
Suatu hari dia pergi ke hutan untuk berburu.Apabila dia melihat seekor kancil,dia cuba mengikuti kancil itu secara senyap-senyap dengan harapan dapat menembak kancil tersebut.Sedang dia menjaga langkah-langkahnya,tiba-tiba dia terdengar satu suara.
“Wahai Ibrahim,bukan kerana ini kamu diciptakan dan bukan ini kewajipanmu,”seru suara itu.
Dia memandang ke kiri dan kanan dan dia dapati memang tiada seorang di kawasan itu.Dia mengambil keputusan mudah bahawa suara yang didengarinya adalah suara syaitan.Seraya dia berkata, “Semoga Allah melaknat kamu wahai Iblis.”Dia meneruskan pemburuannya dan sekali lagi dia terdengar suara yang sama dengan seruan yang sama.Akhirnya dia sedar dan melafazkan, “Aku sedar, aku telah disedarkan! Allah,tuhan semesta alam telah mengingatkanku. Sungguh mulai hari ini aku akan patuh terhadap segala perintah Nya dan aku tidak akan durhaka kepada Nya, selama Allah masih melindungiku.”
++++++++++++++++
Perjalanan Seorang Hamba
Setelah dia sedar yang dia tidak akan berjumpa dengan Tuhan selagi dia tidak meninggalkan kemewahan yang dimilikinya,lalu dia memutuskan untuk berkelana ke Iraq tanpa membawa bersama kemewahan miliknya.
Dijadikan cerita,dia telah menetap di sebuah kampung.Sedang dia berjalan-jalan,dia ditegur oleh seorang musafir.
“Wahai lelaki,adakah kamu hamba?”Tanya si Musafir.
“Ya,aku seorang hamba,”jawab Ibrahim.
“Tahukah kamu di mana terdapat perkampungan terdekat?”Soal si Musafir.
“Di sana,”jawab Ibrahim sambil menunjuk-nunjuk ke arah kawasan perkuburan.
Lelaki tadi berfikir yang dirinya sedang dimain-mainkan oleh Ibrahim,lantas dia mengangkat tongkat yang dipegangnya dan memukul Ibrahim sehingga berdarah.Dalam keadaan parah,Ibrahim berkata, “pukullah kepala yang penuh dengan dosa ini.”
Lalu lelaki tadi beredar.Cerita itu diketahui oleh orang kampung.Seorang penduduk mencari lelaki yang memukul Ibrahim dan menegurnya.
“Wahai lelaki,tahukah betapa besar kesalahan yang telah kamu lakukan hari ini?Kamu telah memukul kepala seorang wali yang paling banyak beribadah di zamannya?”Ujar penduduk.
Mendengarkan kata-kata penduduk itu,lelaki tadi begitu menyesal dan dia mencari Ibrahim.
“Wahai Ibrahim,ampunilah kesalahan ku.Aku tidak mengenali siapa kamu. Tapi kenapa kamu mengakui dirimu hamba?”Tanya si Musafir.
“Kamu tidak bertanya aku hamba kepada siapa sebaliknya kamu bertanya adakah aku hamba.Aku menjawab ya kerana aku adalah hamba Allah dan selepas engkau memukul kepalaku,aku telah pun berdoa supaya engkau dimasukkan ke dalam syurga,”terang Ibrahim.
“Mana mungkin,”tanya lelaki itu yang dipenuhi dengan tanda tanya.
“Kerana,tatkala engkau memukulku,aku bersabar dan ganjaran bagi sabar tidak lain dan tidak bukan melainkan syurga Allah.Mana mungkin aku mendoakan engkau masuk ke neraka sedangkan kerana engkau aku dimasukkan ke dalam syurga,”jelas Ibrahim.
++++++++++++++++
Ibrahim bin Adham berkerja dengan seorang orang kaya yang memiliki ladang limau.Ditakdirkan Allah,pemilik ladang itu ingin bermusafir selama 2 bulan dan dia menyerahkan hak menjaga ladang limau itu kepada Ibrahim bin Adham.Apabila dia pulang,dia memanggil Ibrahim dan menyuruh Ibrahim membawa kepadanya sebiji buah limau yang manis.Namun,buah pertama yang dibawa oleh Ibrahim masam dan tidak enak dimakan.Tuannya mengarahkan Ibrahim mengambil sebiji lagi dan Ibrahim mengambil yang rasanya hampir sama.Maka perkara ini berulang sebanyak 4 kali sehingga tuannya timbul rasa hairan.
“Wahai Ibrahim,2 bulan aku tinggalkan ladang limau ini kepada engkau, apakah engaku tidak bisa mengenal yang mana manis dan yang mana masam? Soal Tuannya.
“Tidak tuan,”jawab Ibrahim dengan penuh ikhlas.
“Apakah engkau tidak memakan buah oren walaupun sebiji?”Soal tuannya lagi.
“Wahai tuan,semasa engkau ingin bermusafir,engkau telah berpesan kepadaku untuk menjaga ladang buah limau bukan makanlah buah limau.Maka dengan itu aku tidak makan walaupun sebiji buah limau,”jawab Ibrahim.
++++++++++++++++
Nasihat Ibrahim Bin Adham
Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang menghadap Ibrahim bin Adham, slalu berkata: “Wahai Ibrahim bin Adham, aku ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian!”
Ibrahim menjawab, “Jika kamu mahu menerima lima perkara serta mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi.”
Lelaki itu berkata,“Tolong sampaikan hal itu kepadaku, wahai Abu Ishaq.” Ibrahim kemudian berkata,“Pertama apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekinya.”
Pemuda itu kemudian bertanya lagi,“Lalu dari mana aku makan, bukankah semua yang ada di bumi ini adalah rezeki pemberian-Nya.” Ibrahim menjelaskan,”Begini, wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih selalu menderhaka kepada-Nya?”
Lelaki itu berkata,“Sekarang tolong beritahukan yang kedua.” Ibrahim berkata,“Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepada-Nya, jangan sampai kamu menginjak bumi-Nya.” Ujar lelaki itu,“Perkara ini mungkin lebih berat daripada perkara pertama. Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?”
Ibrahim berkata,“Begini, wajarkah engkau memakan rezeki-Nya dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakaiNya?” Lantas lelaki itu menjawab: “Tidak, sekarang tolong sebutnya yang ketiga!”
Ibrahim berkata lagi,“Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan, sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayah-Nya, sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat.” Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata,“Wahai Ibrahim! Bagaimana hal ini dapatku lakukan. Dia selalu mengetahui apa saja yang dirahsiakan?”
Ibrahim meneruskan hujahnya,“Wajarkah kamu memakan rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya dan Dia selalu mengawasi segala gerak-gerimu?”Pemuda itu segera menjawab,“Tidak, sekarang cuba sebutkan yang keempat!”
Ibrahim berkata,“Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu, cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah.” Jawab lelaki itu,“Mustahil dia mahu menerima permohonan itu.”
Tanya Ibrahim,“Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian hingga kamu dapat bertaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana mungkin kamu akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?” Lelaki itu seterusnya berkata ,“Sekarang cuba tolong sebutkan yang kelima.”
Ibrahim berkata,“Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya.”Jawab lelaki itu,”Mereka tidak mungkin bersedia meninggalkanku begitu saja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan.”
Ibrahim bertanya lagi,“Jika demikian, bagaimana mungkin kamu akan mengharapkan suatu keselamatan?” Kata lelaki itu berkata,”Wahai Ibrahim! cukup, cukup! Sekarang aku akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya.”