Khamis, 15 Disember 2011

~ Sebaik-baik Akhlak Seorang Mukmin ~


Sahabat...

Dari Syaikh Ibnu Athaillah yang bermaksud.......

" Sebaik-baik akhlak seorang mukmin adalah orang yang sentiasa sibuk menunaikan hak-hak Allah, yang bermakna menjauhi semua laranganNya dan melaksanakan semua perintahNya, tanpa berangan-angan untuk mendapatkan pahala dari amalan yang dilakukannya itu. Tugas seorang hamba hanyalah beribadah dan mengabdi diri padaNya bukan kerana adanya syurga dan bukan pula takut pada neraka....Tetapi adalah semata-mata kerana Allah SWT."

Ini bersesuaian dengan ikrar kita setiap hari pada Allah sewaktu solat kita yang berbunyi....
"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan sekelian alam."

Untuk kita sentiasa mengingati Allah dalam semua hal dan keadaan dan menjadikan Allah matlamat seluruh hidup dan mati kita sebagaimana ikrar kita tersebut perlulah kita melakukan beberapa amalan iaitu....
Sentiasa mengucapkan Bismillah
Sentiasa mengucapkannya apabila memulakan sesuatu pekerjaan. Melalui pengucapan tersebut bermakna kita mengakui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan selanjutnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah atas berhasil atau tidak berhasilnya sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu.

Ucapan ini juga menghasilkan kesan psikologi iaitu mendatangkan rasa aman, lebih yakin, penuh harapan akan kejayaan pekerjaan tadi.... Sabda Rasulullah saw yang bermaksud..
" Setiap pekerjaan yang tidak dimulai dengan Bismillah, maka ia akan terputus." Bermakna terputus dari keberkatan Allah dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Sentiasa mengucapkan tahmid
Selepas melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah kita mengucapkan tahmid atau memuji Allah SWT ataupun bersyukur di atas kurniaNya yang diberikan kepada kita kerana dengan izinNya kita dapat melakukan pekerjaan tersebut dan menyelesaikannya dengan baik dengan lafaz.....Alhamdulillahi rabbil alamin... segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.

Tanpa pertolongan dari Allah kita tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk menyelesaikan urusan pekerjaan kita walaupun ia kelihatan sangat mudah. Kita bertahmid memuji Allah dengan lisan kita tapi kita mensyukurinya dengan lisan, hati dan perbuatan kita. Itulah bezanya antara tahmid dan syukur yang perlu kita ketahui dan menghayatinya. Ucapan tahmid ini hendaklah sentiasa kita ucapkan pada setiap selesainya sesuatu pekerjaan ataupun tidak, sama ada ia membawa keberuntungan ataupun tidak.
Sentiasa beristighfar
Sebagai manusia yang lemah ini, kita tidak pernah sunyi dari berbuat kesilapan dan dosa sama ada sengaja ataupun tidak. Jadi sewajarnyalah kita selalu mengucapkan istighfar memohon keampunan dari Allah di atas segala dosa dan kesalahan, kelalaian dan kesilapan yang dilakukan. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud....
" Dan orang-orang yang terlanjur melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, hendaklah mereka segera mengingati Allah dan memohon ampun diatas dosa yang mereka lakukan."
Mengucapkan InsyaAllah bila berjanji.
Dalam pergaulan sehari-hari, adakalanya ktia berjanji dengan sahabat dan rakan taulan kita, maka dalam
berjanji janganlah memberikan kepastian tetapi ucapkanlah InsyaAllah. Seringkali kita telah mengatur atau merancangkan sesuatu rancangan dengan teliti, tetapi di luar kemampuan dan perhitungan kita , apa yang di rancang itu tidak menjadi kenyataan..... Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud...
" Dan mereka merancang, Allah juga merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang."

Rancangan Allah tidak pernah gagal tetapi rancangan manusia sentiasa gagal kerana manusia hanya berusaha tapi Allahlah yang menentukan. Oleh sebab itu bila berjanji ucapkanlah InsyaAllah sebab masa yang akan datang itu bukan di tangan kita tapi di tangan Allah!
Membiasakan diri mengucapkan hauqalah
Hauqalah adalah ucapan Laa haula walaa quwwata illaa billaa hil 'aliyyil 'azim yang bermaksud tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Ucapan ini merupakan pengakuan dari seorang hamba Allah bahawa makhluk itu tiada kemampuan, daya dan upaya, tiada kekuatan dan tiada kuasa melainkan dengan Allah SWT.

Seperti kata Luqmannul Hakim, kehidupan ini adalah bagaikan lautan samudera yang berombak dan sentiasa bergelora, jadi dalam menghadapi hidup ini, perlunya kita memperkuatkan diri dan memperteguhkan jiwa kita agar hati kita tidak kecut dan gusar dengan selalunya kita mengucapkan hauqalah.
Mengembalikan sesuatu kepada Allah
Setiap manusia tidak mampu menghindarkan diri daripada ketentuan yang sudah digariskan oleh Allah SWT baik ketentuan dalam bentuk kurnia atau dalam bentuk musibah. Oleh itu, jika sesuatu musibah berlaku pada kita , kembalikannya pada Allah dengan mengucapkan Innaa lillahi wainna ilahi raji'un yang bermaksud sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita semua akan kembali padaNya. Dengan ucapan ini akan mengurangkan penderitaan yang kita alami dan seterusnya menimbulkan sikap redha dijiwa kita terhadap sesuatu yangmenimpa kita, insyaAllah.
Mempunyai landasan dan asas yang kukuh
Agar sesuatu binaan atau bangunan itu boleh berdiri kukuh, tidak mudah runtuh dan goyah walaupun dilanda badai dan taufan yang kuat, perlulah ia mempunyai asas yang kukuh.

Begitu juga kita manusia ini, agar dirinya tidak mudah goyah atau berubah pendirian diri dan tahan menghadapi godaan, semestinya kita mempunyai landasan dan asas yang kuat dalam diri iaitu perlunya diri berpegang teguh dengan kalimah syahadatain iaitu mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Kita perlunya berpegang teguh dengan kalimah ini dalam seluruh aspek kehidupan kita walau dalam apa juga keadaan dan suasana. Kalimah ini merupakan paksi kehidupan seorang Mukmin dimana ia merupakan hakikat perhambaannya yang total pada Allah SWT dan dia mengikuti jalan yang dibawa oleh Rasulullah untuk merealisasikan hakikat ini. Bukan hanya setakat mengucap kalimah syahadah ini di bibir sahaja tapi tidak mendasari jiwa dan dibuktikan oleh perbuatan.

Mukmin yang sejati merasai hakikat hubungan jiwa yang erat dengan Allah dan inilah yang membentuk akhlak dirinya. Apa yang dirasai dijiwa, diucapkan oleh lisan dan dilaksanakan dalam perbuatan. Segala ucapan-ucapan yang diamalkan diatas tidak bermakna jika hanya merupakan mainan bibir sahaja, tidak memahami apa yang diucap dan tidak menghayati maksudnya dalam kehidupan.

Sebagai manusia seharusnya kita melayari kehidupan ini berpandukan kepada apa yang telah disarankan oleh Allah dan Rasul, supaya dengan ini kita merasai segala sesuatu yang kita lalui ini merupakan ujianNya yang sebenarnya hendak melihat siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalnya di dunia ini.

Jadi setiap ujian dan dugaan yang mendatang seharusnya menyedarkan diri kita, menjadikan kita lebih peka tentang siapa diri kita, dan bagaimana kita menghubungkan segala sesuatu dengan kehendak Allah SWT. Dengan ini , insyaAllah kita akan dapat melayari kehidupan ini dengan penuh rasa redha dan bersyukur kepadaNya!

Rujukan
Kaifiyat mempertajamkan hati dalam mengenal Allah
Syaikh Ibnu 'Athaillah Al-Sukandari

Smoga perkongsian bermenfaat buat kita semua...