Isnin, 2 Mei 2011

AKHLAK YANG TERCELA




1. TAMAK KEPADA MAKAN

Ertinya gemar dan tamak kepada makan, iaitu sentiasa mereka-reka apa yang hendak dimakan seterusnya. Perutnya akan sentiasa sendat dengan makanan dan minuman. Kebiasaan bagi orang yang tamak ialah mementingkan diri sendiri. Firman Allah SWT.

“Makanlah dan minumlah kamu tetapi jangan kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Araf: 30)

Makan dan minum pada syarak tujuannya adalah sekadar untuk membolehkan ibadah kepada Allah. Banyak makan menyebabkan tubuh badan memberat dan menimbulkan rasa malas untuk menunaikan tuntutan Allah. Terlalu banyak makan juga membawa nafsu untuk melakukan kejahatan.

2. GEMAR BERCAKAP

Ertinya suka dan gemar bercakap perkara yang sia-sia dan tidak berguna untuk dunia dan akhiratnya. Firman Allah SWT.

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan mereka melainkan bisikan orang yang menyuruh manusia memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamian di antara manusia.” (An Nisa: 114)

3. MARAH

Iaitu bersifat pemarah. Marah yang dimaksudkan ialah marah yang melulu dan tidak kena pada tempatnya. Sebaliknya, marah kepada apa yang disuruh oleh Allah merupakan sifat terpuji sepertimana Rasulullah S.A.W marah pada orang yang mengabaikan perintah Allah.

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dan Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya sama ada di waktu lapang atau kesempitan dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Ali Imran: 133-134)

Sifat pemarah berpunca dari sifat sombong atau rasa kebesaran yang bersarang di dalam hati. Lagi besar sombong seseorang itu, lagi besarlah kemarahannya. Seorang yang pemarah adalah seorang yang biadab terhadap sesama manusia dan juga biadab terhadap Allah SWT. Ia boleh memecahbelahkan hati-hati manusia. Sifat kebesaran atau sombong mesti diungkaikan dan diganti dengan sifat kehambaan atau rendah diri.

4. HASAD DENGKI

Ertinya dengki iaitu suka nikmat yang ada pada orang lain hilang atau suka apabila orang lain ditimpa musibah. Dan dadanya akan sesak apabila mendengar orang lain mendapat nikmat dan bergembira apabila orang lain ditimpa bala. Firman Allah SWT.

“Apakah mereka dengkikan manusia lantaran kurniaan yang ALLAH telah berikan kepada mereka.” (An Nisa: 54)

Sifat hasad dengki ini lahir dari hati yang sombong dan tidak redha dengan ketentuan Allah. Apabila ada sifat hasad dengki, akan berlaku hina menghina, benci membenci, fitnah memfitnah, jahat sangka yang kesemuanya akan mendatangkan dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya. Sabda Rasulullah S.A.W.

“Hasad memakan amalan seperti api memakan kayu.”

Hidup bagi seorang yang berhasad dengki ini tidak pernah tenang dan selalu berdukacita.

5. KEDEKUT

Ertinya kikir atau kedekut kerana terlalu sayangkan nikmat sehingga tidak menggunakannya untuk tujuan-tujuan yang disuruh oleh Allah S.W.T. Punca sifat ini adalah cinta kepada dunia dan lupakan akhirat. Firman Allah S.W.T.

“Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnianya menyangka bahawa kebakhilannya itu adalah baik bagi mereka, sebenarnya apa yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka di hari kiamat kelak.” (Ali Imran: 180)

6. SUKA KEMEGAHAN DUNIA

Iatu cinta akan kemegahan dunia serta suka akan kemasyhuran. Firman Allah S.W.T.

“Negeri Akhirat itu Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin kepada ketinggian dan kemegahan dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Al Qasas: 83)

Sifat ini adalah pakaian orang-orang sombong yang lupa asal usul kedatangannya dan lupa Allah dan hari Akhirat. Biasanya orang yang mempunyai sifat ini hidup di dalam kepura-puraan.

7. CINTA DUNIA

Terlalu kasihkan dunia dan sibuk memikirkannya sehingga lalai daripada menunaikan perintah Allah S.W.T. Sifat ini menyebabkan seseorang itu tidak lagi memikirkan halal haram, perintah atau tegahan Allah dalam usahanya mencari keduniaan. Firman Allah S.W.T.

“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia maka kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tetapkan baginya Neraka Jahannam dan akan memasukinya dengan keadaan tercela dan terusir.” (Al Isra’: 18)

Yang dimaksudkan dunia ialah sesuatu yang tidak ada hubungan dan manfaat untuk Akhirat. Dunia yang ada manfaat di Akhirat bukan lagi disebut dunia. Yang dikeji ialah dunia yang tidak mendatangkan hasil yang baik di Akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W.

“Sesungguhnya Allah suka member keduniaan dengan sebab amalan. Akhirat tetapi kalau amalnya khusus untuk dunia maka tidak akan diberi Akhirat.”

8. SOMBONGIaitu merasakan dirinya baik, mulia, tinggi dan terhormat dan memandang orang lain dengan pandangan yang rendah dan penuh kehinaan. Daripada sifat ini lahir bermacam-macam lagi sifat yang buruk dan mencetuskan berbagai-bagai kemungkaran di dunia. Firman Allah S.W.T.

“Akan Aku pesongkan dari tanda-tanda kebesaranKu orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar.” (Al Araf: 146)

Kibir adalah pakaian Allah S.W.T, sifat khususiah hanya untuk Allah. Kerana Allah itu Maha Agung, Maha Pencipta dan Maha Besar dan Allahlah yang mengagih-agihkan nikmat kepada seluruh hamba-hambaNya. Sifat ini jika dijadikan pakaian makhluk, ia akan menjadi induk kepada kejahatan kerana sifat inilah yang menyebabkan iblis menjadi kufur dan dilaknak oleh Allah SWT.

9. KAGUM AKAN KEHEBATAN DIRI

Ertinya ialah hairan akan dirinya, iaitu merasa kagum akan kehebatan dirinya mampu mendirikan ibadah yang banyak, merasa hebat melihat dirinya yang serba ada dan serba boleh, menyebabkan ia terlalu membesarkan dirinya sehingga lupa kepada Allah yang memberikannya itu semua. Sabda Allah s.a.w.

“Sekiranya kamu tidak pernah berdosa, tentulah aku takut kalau kamu ditimpai oleh dosa yang lebih besar iaitu ujub.”(Riwayat Bukhari)

10. RIAK

Ertinya berbuat sesuatu ibadah kerana mengharapkan pujian orang bukan ikhlas melakukan ibadah semata-mata dan kerana Allah. Firman Allah SWT.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang sembahyang iaitu orang-orang yang lalai dari sembahyang lagi menunjuk-nunjuk.” (Al Maun: 4,5,6,)

Menurut pandangan Syariat, riyak merupakan syirik kecil kerana ia menyegutukan Tuhan di dalam ibadah. Sifat ini biasanya berlaku secara tidak sedar kerana ia adalah hasil bisikan halus syaitan dan dorongan hawa nafsu. Namun, tidak pula boleh meninggalkan ketaatan kepada Allah kerana takut berlaku riak. Apa yang perlu dilakukan ialah bersungguh-sungguh beramal dengan memelihara keikhlasan semata-mata mengharapkan redha Allah.

Yang demikian adalah sifat-sifat yang keji, yang perlu diperhatikan dan dijauhi sungguh-sungguh daripada diri kita kerana ianya akan mendatangkan kesengsaraan hidup di dunia dan akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka Jahannam di Akhirat. Dengan mengetahui sifat-sifat yang tercela itu, dapatlah kita berusaha mengungkainya dan menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.