Kehidupan ini penuh dengan ranjau,Penuh dengan ujian.
Tetapi itulah dinamakan warna-warni kehidupan.
Kehidupan kita juga diwarnakan dengan pelbagai ragam manusia, ada yang merasa megah dengan kekayaan, pangkat dan harta. Kita merasa angkuh dengan kurniaan ilahi. Kemana kita sebenarnya?
Pandanglah ke Langit,,,
Pernahkah kalian memandang ke langit? anda tidak merasakah bahawa betapa kecil dan kerdilnya kita di alam ini? Kekadang kita rasa bongkak, angkuh, sombong dengan harta,pangkat dan kekayaan. Cuba kita renung. Adakah ia akan kekal?
Adakah apa yang kita ada ini sudah mencukupkan kita rasa hebat? Sedangkan harta pangkat dan kekayaan, pencapaian yang ada pasti tidak kemana. Betapa sedikitnya, dibandingkan dengan kekayaan dan agungnya kekuasaan ilahi yang ciptakan dunia ini.
Indahnya melihat langit seakan ingin terbang ke udara. Langit yang membiru itu tidak pernah angkuh dengan kecantikan, kehebatannya. Langit selalu sahaja menurut perintah Allah apabila Dia inginkan langit itu suram tidak bercahaya, langit tunduk dengan perintah-Nya. Tetapi manusia? apabila diuji dengan harta, kekayaan, pangkat, kecantikan dan perkara itu yang membuatkan manusia lupa bahawa dia lemah, semuanya kekayaan tidak akan kekal. Semuanya milik Allah! kita pasti akan MATI. Pernahkah kita insaf? pernahkah kita merasa takjub dengan keagungan ciptaan Tuhan jika dibandingkan apa yang ada pada diri kita ini?
Renung Kembali
Pada satu ketika, kita rasa dengki dengan kekayaan yang ada pada orang lain. Kita rasa dengki dengan pencapaian orang lain. Kita rasa kecewa, mengapa ya Allah , aku tidak sehebatnya. Mengapa aku tidak hebat sepertinya? sebenarnya kita silap. Tidakkah kita mendengar bahawa Allah swt berfirman:
"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)." Surah Muhammad Ayat 36
Kita tidak pernah bersyukur dengan kurniannya.Adakah kita masih angkuh sedangkan Allah sudah memberi kita secukupnya? Pandanglah kepada orang yang lebih kurang darimu. Bersyukurkah kita? dimana kita berada? landasan manakah? cuba kita lihat matahari , dia sentiasa mentaati perintah Allah.Di saat ia terbit dengan megah, tetapi apabila Allah perintahkan ia terbenam, ia akan terbenam tetapi dengan ketaatan.
Kembalilah , Bersyukurlah
Aku ingin mengajak kalian dan diri sendiri agar sentiasa melihat orang yang lebih kurang daripada kita. Kita masih lagi boleh bernafas, tetapi ada di saat ini orang yang berusaha untuk bernafas menyedut udara kerana nazak di ambang sakaratul maut. Ada yang tiada kaki tetapi dia masih bersyukur kerana anggota lain masih ada dan sentiasa lakukan amal , sedangkan kita yang ada kaki jarang bersyukur. Sampai nak menjejak ke rumah Allah pun, kita masih kurang. Ada yang tiada mata, tetapi dia masih bersyukur dan terus bersyukur untuk mengingati Allah dengan sentiasa berzikir. Tetapi kita yang ada mata sanggup memandang perkara haram. Kita ini selalu lupa siapa kita? Apa tujuan kita dihidupkan di dunia.
Manfaatkan hidup sepenuhnya
Manfaatkanlah dirimu untuk kehidupan Akhirat.Tugasmu adalah mentarbiyah manusia untuk kembali kepadanya! Tugasmu adalah untuk mengabdikan diri kepada pencipta. Kekayaan yang kita ada, pangkat yang kita ada jika kita manfaatkan untuk akhirat . ia pasti akan berharga. Janganlah ada perasaan iri hati dengan pencapaian orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Usahalah semampu yang boleh! Sesungguhnya Allah menilai kita berdasarkan kualiti bukan kuantiti. ada yang solat tahajjud tetapi perasaan bongkak ada dalam dirinya. Tiada guna langsung walaupun dia bersolat sebanyak seratus rakaat. Tetapi jika seorang hamba Allah melaksanakan solat tahajjud ikhlas kerana Allah walaupun satu rakaat, tetapi betapa besarnya di sisi Allah. kembalilah kepada jalan Islam. Manfaatkanlah masa yang ada dengan amal.