Sabtu, 17 Disember 2011

INILAH RAHSIA SEGELAS AIR MATA.


Dalam Kitab Mukasyafatul Qulub karangan Imam Al Ghazali ada diceritakan sebuah hadis qudsi tentang kebangkitan semula setelah Israfil meniup sangkakala kedua.Tatkala Israil meniup sangkakala kedua, maka bangkitlah sekelian umat manusia dari Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir hidup di muka bumi.

Sewaktu Rasulullah SAW bangkit, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mencari umat baginda.

Diriwayatkan, Rasulullah SAW telah bertemu dengan umat baginda. Maka dipeluk dan diciumnya seluruh umatnya dengan kasih sayang kerinduan bagaikan seorang ayah yang baru bertemu dengan anaknya kerana terpisah lama.

Tetapi ada satu kelompok dari umat baginda yang terpisah dari Rasulullah SAW oleh satu benteng api.

Datang Jibrail menemui Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibrail :


Rasulullah SAW : Mengapa aku dihalang oleh benteng api ini dari menemui umat ku ?

Jibrail : Mereka adalah umat mu yang engkar kepada titah perintah Allah. Mereka melakukan maksiat dan kemungkaran sepanjang kehidupan mereka. Maka Allah jadikan benteng api ini sebagai pemisah antara diri mu dan mereka.

Maka Rasulullah SAW berdoa kepada Allah agar dipadamkan benteng api tersebut. Malangnya benteng api tersebut semakin marak dan berkobar-kobar. Rasulullah SAW berdoa dengan berwasilahkan keberkatan solat agar dipadamkan benteng api, namun apinya semakin marak. Rasulullah SAW berdoa pula dengan berwasilahkan keberkatan puasa, namun usaha baginda masih gagal. Lantas Rasulullah SAW terus berdoa dengan berwasilahkan keberkatan Al Quran, Zakat, sedekah, zikir dan lain-lain amal ibadah yang dilakukan umatnya. Namun hasil usaha baginda masih gagal.

Maka datanglah Jibrail membawa segelas air, lalu berkata kepada Rasulullah SAW :

Jibrail : Wahai Rasulullah, gunakanlah segelas air ini untuk memadamkan benteng api tersebut.

Rasulullah SAW : Wahai Jibrail, mana mungkin segelas air mampu memadamkan benteng api yang marak dan berkobar-kobar.

Jibrail : Gunakanlah segelas air ni wahai Rasulullah, kerana ini adalah perintah Tuhan mu yang juga Tuhan kepada sekelian alam.

Setelah mendengar kata-kata Jibrail, Rasulullah SAW terus mencapai air tersebut dan menyiramkannya kepada api yang marak. Sekelip mata, benteng api tersebut terpadam. Tiada lagi rintangan yang menghalang Rasulullah SAW bertemu dengan umatnya. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibrail :

Rasulullah SAW : Wahai Jibrail, air apakah ini ? Begitu hebat kerana ia mampu memadamkan benteng api yang marak ?

Jibrail : Wahai Rasulullah, itulah air mata taubat umat mu. HANYA air mata taubat yang mampu memadamkan api neraka.
by: Sembilan Nain