Khamis, 26 September 2013

sebaik-baik manusia itu...



Terdapat lapan golongan manusia seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW.

Golongan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Tidak ingkar untuk membayar hutang.

Mereka yang membantu saudaranya yang susah lalu memberikan hutang adalah satu perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT.Memberi hutang lebih besar ganjaran pahalanya daripada bersedekah . Mengenai kebaikan memberi pinjaman dan sedekah kepada mereka yang memerlukan, firman Allah SWT ialah “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki), dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” – (Surah al-Baqarah ayat 245)

Begitu juga hadis Nabi SAW menyatakan: “Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Baihaqi).

Sesiapa yang berhutang kerana keperluan hidup sedangkan hatinya berniat untuk membayar balik maka hutangnya akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW :

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Hadis Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عن رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أنه فَقَالَ « خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً » متفق عليه

Maksudnya: Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan: Bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kedua : Belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

Kenapa belajar dan mengajarkan al-Quran akan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT? Ini adalah kerana tidak ada kitab yang paling baik melainkan kitab al-Quran nul karim. Kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Di dalam al-Quran mengandungi hukum hakam dan panduan hidup manusia. Al-Quran berbeza dengan kitab-kitab yang lain kerana membaca satu huruf sahaja akan mendapat ganjaran 10 kali ganda. Manusia tidak akan sesat jika berpandu kepada ajaran al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “ Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit (susah) dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan)”(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksud :“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عُثْمَانَ – رضى الله عنه- عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ» رواه البخاري

Maksudnya: Ustman bin Affan radhiyallahu ‘anhu berkata: Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketiga : Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan paling jauh keburukannya.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu'. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah Az-Zumar ayat 10)

Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”. (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ « أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ ». قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا. قَالَ « خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ …» رواه الترمذى

Maksudnya: Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berdiri di hadapan beberapa orang, lalu bersabda: “Mahukah kalian aku beritahukan sebaik-baik dan seburuk-buruk orang dari kalian?”

Mereka terdiam, dan Nabi bertanya seperti itu tiga kali, lalu ada seorang yang berkata: “Ya, kami mahu wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami sebaik-baik dan buruk-buruk kami,”

Baginda bersabda: “Sebaik-sebaik kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan sedangkan keburukannya terjaga…” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’. no. 2603)

Keempat : Menjadi suami yang paling baik terhadap keluarganya.

Seseorang mukmin yang berlemah lembut dan menjalankan tarbiah terhadap ahli keluarganya adalah adalah ciri-ciri suami yang baik. Suami yang baik dan bertanggungjawab akan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anaknya dalam menguruskan bahtera rumahtangga. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik sebagai suami dan bapa ketika bersama-sama ahli keluarganya.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh suami kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى. رواه الترمذى

Maksudnya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah Sallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Ash Shahihah (no. 285)

Kelima : Orang yang paling baik akhlaknya dan menuntut ilmu.

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Aisyah r.ha. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Menuntut ilmu adalah satu kefarduan dan sesiapa yang keluar rumah untuk menuntut ilmu bermakna ia menuju jalan ke syurga.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/212, no. 4867)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- «خَيْرُكُمْ إِسْلاَماً أَحَاسِنُكُمْ أَخْلاَقاً إِذَا فَقِهُوا» رواه أحمد

Maksudnya: “Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian Islamnya adalah yang paling baik akhlak jika mereka menuntut ilmu.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ .no. 3312)

Keenam : Orang yang memberikan makanan.

Salah satu sifat orang mukmin yang bertakwa adalah membantu golongan yang miskin dan memerlukan bantuan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.” (Surah al-Baqarah (2) ayat 245)

Sabda Nabi SAW maksudnya : ”Barangsiapa memberi makan orang lapar, Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Barangsiapa memberi minuman kepada orang haus, Allah pada hari kiamat nanti akan memberinya minuman syurga yang amat lazat (ar-rahiq al-makhtum), dan barangsiapa memberi pakaian orang yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau (khudhr al-jannah).” (Hadis Riwayat Abu Daud no 1432; Tirmizi no 2373)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ حَمْزَةَ بْنِ صُهَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ رضي الله عنه قَالَ: فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «خَيْرُكُمْ مَنْ أَطْعَمَ الطَّعَامَ» رواه أحمد

Maksudnya: Hamzah bin Shuhaib meriwayatkan dari bapanya radhiyallahu ‘anhu yang berkata: Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang memberikan makanan.” (Hadis Riwayat Ahmad dan dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3318)

Ketujuh : Orang yang panjang umur dan baik perbuatannya.

Umur panjang adalah kurniaan Allah SWT kepada manusia yang dipilih-Nya. Jika diberikan umur yang panjang manusia sentiasa mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya maka beruntunglah ia, tetapi jika umurnya panjang tetapi manusia masih tidak sedar diri hidup bergelumangan dengan noda dan dosa, melabur hartanya dalam saham arak, masih suka buat fitnah, masih mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT maka jenis manusia seperti ini amat malang kerana dia menempah dirinya untuk masuk neraka. Perlu diingat kelebihan dirinya umur panjang, hartanya melimpah ruah dan sihat tubuh badan adalah merupakan istidraj (kemurkaan Allah) daripada Allah SWT, sampai masanya Allah SWT cabut nyawanya dalam keadaan yang su'ul khatimah dan mengaibkan, nauzubillah.

Sebaliknya pula jika seseorang itu dikurniakan umur yang panjang kemudian banyak amal soleh, amal ibadah, berterusan jihadnya, benci pada maksiat dan fitnah, sentiasa bertaubat dan umurnya dipergunakan untuk agama Allah SWT maka umur seperti ini adalah umur yang diberkati dan dia adalah manusia yang dipilih oleh Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ رضي الله عنه أَنَّ أَعْرَابِيًّا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ خَيْرُ النَّاسِ قَالَ «مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ» رواه الترمذى

Maksudnya: Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa ada seorang Arab Badui berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia?” Baginda menjawab: “Siapa yang paling panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahihut Targhib wat Tarhib . no. 3363)

Kelapan : Orang yang paling bermanfaat bagi manusia.

Mukmin yang beruntung adalah mukmin yang hidupnya di dunia sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Perbuatannya, ucapannya, nasihatnya, gerak kerjanya, tulisannya dan pandangannya semuanya membawa kebaikan dan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Jabir radhiyallau ‘anhuma bercerita bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)

Sahabat yang dikasihi,

Alangkan beruntungnya kita apabila kita termasuk dikalangan lapan golongan yang di panggil oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik manusia. Mereka yang beramal soleh dan melakukan amal kebajikan ketika di dunia, dan termasuk di dalam sebaik-baik golongan seperti dihuraikan di atas maka mereka akan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT dan akan berbahagia di dunia dan akhirat.



kredit utk :www.facebook.com/notes/abu-basyer/siapakah-lapan-golongan-yang-akan-menjadi-sebaik-baik-manusia/10151628794446040