Sabtu, 21 Mei 2011

Kisah Abu Bakar AsSidik


Tidak syak lagi bahawa Abu Bakar ra merupakan manusia yang paling tinggi martabatnya dikalangan para sahabat. Nabi Muhammad saw sendiri pernah menyampaikan berita gembira mengenai kedudukannya yang utama di antara penguni-penghuni syurga yang maha mulia.

Nabi Muhammad saw bersabda : “Nama Abu Bakar akan diseru daripada segenap pintu syurga dan dialah pengikutku yang pertama akan memasukinya.”

Namun demikian perasaan takutnya kepada Allah SWT tetap bertakhta dikalbunya. Dia sering berkata : “Alangkah baiknya kalau aku menjadi sebatang pokok yang ditebang dan dijadikan kayu api”. Kadang-kadang dia berkata : “Alangkah baiknya kalau aku ini sehelai rumput yang riwayat hidupnya akan tamat apabila dimakan oleh seekor binatang ternakan”.

Pada suatu hari dia telah pergi kesebuah taman di mana ia melihat seekor burung sedang berkicauan. Katanya : “Wahai burung! Sungguh bertuah kamu. Kau makan minum dan berterbangan di bawah naungan pokok-pokok kayu tanpa sebarang perasaan takut tentang hari perkiraan (akhirat). Aku ingin menjadi seperti engkau,wahai burung”.

Rabi’ah Aslami ra telah bercerita :

“Pada suatu hari saya telah bertentangan dengan Abu Bakar. Semasa pertengkaran itu berjalan, dia telah mengeluarkan sepatah perkataan kesat terhadap saya. Dengan serta-merta itu juga, dia telah menyedari akan kesalahannya itu lalu berkata : “Wahai saudara, gunakanlah perkataan itu terhadap saya sebagai tindakan balas”.

Saya enggan berbuat demikian. Dia menggesa saya supaya menggunakan perkataan kesat tadi dan berkata hendak merujukkan perkara itu kepada Nabi Muhammad saw. Saya tidak juga mahu mengalah. Dia lalu bangun lalu meninggalkan saya. Beberapa orang ahli dari puak saya yang menyaksikan peristiwa tadi mencemuh : “Ganjil betul orangnya, dia yang melakukan kesalahan dan dia pula mengancam hendak mengadu kepada Nabi Muhammad saw.

Saya dengan segera menyampuk : ” Kamu tahukah siapa dia? Dia adalah Abu Bakar. Menyinggungnya bererti menyinggung Nabi Muhammad saw dan menyinggung Nabi Muhammad saw bererti menyinggung Allah SWT, kalau perbuatan aku menyinggung Allah SWT, siapakah gerangannya yang akan menyelamatkan aku?”

Saya pun bangun lantas pergi menghadap Nabi Muhammad saw. Kepada Nabi Muhammad s.a.w. saya bercerita apa yang telah berlaku. Kata Nabi Muhammad saw : “Keengganan kamu mengeluarkan kata-kata kesat itu sudah kena pada tempatnya, tetapi untuk mengeluarkan penderitaan batinnya, kamu sekurang-kurangnya dapat berkata : “Semoga Allah SWT mengampuni kamu wahai Abu Bakar”.

Begitulah takwa yang telah ditunjukkan oleh Abu Bakar. Keengganannya menerima pembalasan di alam akhirat menyebabkan dia memaksa Rabi’ah Aslami supaya mengambil tindakan balas terhadapnya. Kekesalannya dan penderitaan batinnya akibat kesalahannya itu sedemikian rupa sehingga dia sanggup menceritakan segala-galanya kepada Nabi Muhammad saw dengan harapan Nabi Muhammad saw dapat menolong. Bagaimanakah pula perasaan kita, umat Islam kini selepas melakukan kesalahan? Kita seringkali melakukan kesalahan tanpa perasaan takut akan pembalasan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.